Wednesday, April 21, 2010

Sejarah Pembangunan Usahawan

SEJARAH PEMBANGUNAN USAHAWAN

Richard Cantillon (1681-1734) yang diiktiraf sebagai tokoh usahawan telah menggunakan istilah ‘entreprendre’ bagi merujuk seseorang yang peranannya sebagai orang yang sanggup mengambil risiko dalam mengejar peluang-peluang yang ada. Beliau mencadangkan bahawa usahawan ialah seseorang yang berkecimpung dalam pertukaran untuk mengaut keuntungan dan yang mengamalkan ‘pertimbangan perniagaan’ dalam menghadapi sesuatu yang tidak dijangka. Beliau mengaitkan risiko dan ketidaktentuan dengan proses membuat keputusan yang bersifat seakan-akan pentadbiran serta penyeliaan oleh para usahawan.

Beadeau (1730-1790) iaitu seorang ahli ekonomi Perancis telah menyatakan bahawa usahawan ialah seseorang yang melakukan inovasi. Hal ini berdasarkan idea bahawa para usahawan ialah golongan yang merekabentuk dan mengaplikasikan teknik-teknik baru dalam usaha unutk mengurangkan kos, sekaligus meningkatkan keuntungan.

Jean Baptise Say (1767-1832) iaitu seorang Profesor ekonomi berbangsa Perancis telah mempopularkan teori Cantillon tetapi tanpa melihat risiko atau ketidaktentuan sebagai punca usahawan itu berfungsi. Say menekankan kualiti pertimbangan usahawan, bersemangat kental dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah oleh seorang usahawan.

Joseph Schumpeter (1883-1950) melihat usahawan sebagai mereka yang melakukan inovasi dengan menggunakan istilah ciptaan perniagaan yang baru (mengeksploitasi sesuatu rekaan). Menurut Schumpeter, inovasi mungkin terdiri daripada banyak jenis dan berpunca daripada penghasilan produk baru atau penambahbaik dalam kualitinya, kemajuan kaedah penghasilan produk yang baru, pembukaan pasaran baru, penguasaan sumber bekalan baru dan organisasi yang baru dalam industri.

Pada tahun 1960-an David McClelland mencadangkan bahawa kunci kepada peribadi keusahawanan itu terletak pada motivasi kejayaan dan menakrifkan usahawan sebagai seseorang yang melakukan pengambilan risiko sederhana yang bertepatan dengan kemahiran yang ada padanya.

J.B. Rotter (1966) pula mendefinisikan usahawan sebagai golongan yang mempunyai lokus kawalan.

Peter Drucker (1964) mentakrifkan usahawan sebagai seseorang yang memaksimumkan seseuatu peluang.

Israel Kirzner (1982) mendefinisikan keusahawanan sebagai ‘kepekaan kepada peluang untuk mengaut keuntungan’.

Schultz (1980) menerangkan bahawa kemampuan keusahawanan ialah ‘keupayaan untuk membetulkan perkhidmatan mereka sebagai respons kepada perubahan dalam nilai kerja yang mereka lakukan’.

Carson (1982) membentangkan idea bahawa usahawan merupakan seseorang yang pakar dalam mengambil keputusan yang munasabah tentang koordinasi sumber-sumber yang sukar ditemui atau terhad.

Kets de Vries (1996) turut mempertimbangkan usahawan sebagai seorang pembuat risiko berbanding mengambil risiko kerana selalunya mereka menggunakan modal orang lain.

Bolton dan Thompson melihat usahawan sebagai individu yang menginovasi untuk membina sesuatu yang bernilai apabila wujudnya peluang di sekeliling.

No comments:

Post a Comment