Wednesday, April 21, 2010

Sinopsis Buku: Isu-isu Pensejarahan

Tajuk: Isu-isu pensejarahan.
Pengarang: Abu Talib Ahmad/Cheah Boon Kheng
Harga:RM 18.00

Tahun:1995

ISBN : 983-861-108-5

SINOPSIS

Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pensejarahan dan nasionalisme dengan tumpuan kepada sejarah Malaysia. Bab pertama merupakan perbincangan menarik Cheah Boon Kheng tentang persoalan apakah feudalisme Melayu itu satu ciptaan orang Inggeris atau merupakan satu hakikat yang benar-benar wujud. Seterusnya, Mohamad Isa Othman memberikan perhatian kepada sumber sejarah Kedah khususnya Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Di dalam bab ketiga, K. Anbalakan membincangkan objektiviti di dalam sejarah,yang menurutnya bukan merupakan satu impian,satu perkara yang semestinya boleh menarik perhatian setiap penuntut sejarah. Sementara itu Qasim Ahmad pula membincangkan persoalan pokok dalam ilmu sejarah seperti sumber, pengesahan fakta, pentafsiran dan objektiviti. Aliran Pasca-Modenisme, disentuh oleh Tan Liok Ee di dalam bab lima dengan menyoal apakah Pasca-Modenisme membawa satu haluan baru sejarah yang menyegarkan. Seterusnya, Tan Kim Hong membincangkan falsafah dan pendekatan Ssuma Ch'ien, seorang sejarawan ulung China tradisional terhadap penulisan sejarah sezaman (wangsa). Esei Mahani Musa pula membincangkan satu dokumen menarik berkenaan sejarah sosial Pulau Pinang yang merupakan buku catatan harian (diari) Shaikh Omar Basheer, seorang tokoh Melayu Pulau Pinang. Tinjauan seperti ini amat berguna kepada penuntut dan juga pengkaji sejarah Malaysia. Bahagian kedua berkenaan dengan nasionalisme dimulakan dengan perbincangan Abdul Rahman Ismail berdasarkan kepada akhbar serta majalah Melayu yang telah diterbitkan sekitar penghujung abad ke-19 hingga separuh pertama abad ke-20. Sementara itu Abu Talib Ahmad pula, membincangkan dasar serta tindakan kerajaan penjajah, di London dan di Simla terhadap isu pensubahatan dengan Jepun serta kesetiaan kepada Inggeris yang ditunjukkan oleh tokoh tempatan di Burma. Kemunculan persatuan "sosial" India sejak awal abad ke-20 merupakan fokus perbincangan Khoo Kay Kim di dalam bab sebelas. Beliau membuat cadangan yang menarik tentang perlunya disemak semula maksud "persatuan politik" dalam konteks sejarah Malaysia. Buku ini diakhiri oleh Ismail Md. Isa yang menumpukan perhatiannya kepada sejarah tempatan dengan merujuk kepada "penubuhan" Pekan Cina di Alor Setar pada awal abad ke-19.

PETIKAN MENARIK

J.T Thomson, Sequel to Some Glimpses into Life in the Far East, London, 865M, hlm.25.

Beliau juga menyebut tentang anak-anak raja apabila besar sahaja dicarikan seorang gadis sebagai kawan sepermainannya, manakala sudah belia remaja dicarikan pula ‘gundik’nya. Kebiasaannya anak-anak raja itu diberikan keris dan wang ; mereka turut serta dalam perjudian dan laga ayam, juga menghisap candu. Pada pandangan Thomson “…the older he [ anak Raja ] grows the more given to debaucbery”.



KANDUNGAN

Feudalisme Melayu: ciri-ciri dan pensejarahannya · Al-tarikh salasilah negeri Kedah: sebuah pensejarahan · Objektiviti dalam sejarah: bukan satu impian · Sumber, pengesahan fakta dan pentafsiran sejarah · Sejarah: antara realiti dengan representasi · Di sekitar pemerintahan wangsa: Ssu-ma Ch'en dan penulisan sejarah sezaman · Buku catatan peribadi Sheikh Omar Basheer dengan rujukan terhadap rusuhan di Pulau Pinang pada tahun 1867: satu dokumen sejarah Pulau Pinang abad ke-19 · A brief guide to official sources for Malaysian histrorical research · Nasionalisme Melayu dan nasionalisme Melayu setanah Melayu: satu perbincangan tentang soal permulaannya · Pendudukan Jepun di Burma (Myanmar) 1942-45: dasar Jepun. Tindak balas British dan Dr. Ba Maw, Aung San, U Ba U dan Sir Pau Tun · The quest for Indian unity and formal representation in Malaya: the 1920s · Pekan Cina (Alor Setar): penubuhan dan perkembangannya.

No comments:

Post a Comment