Wednesday, April 21, 2010

Kaedah Penyelidikan : Self Development Group

SELF DEVELOPMENT GROUP (SDG)

Self Development Group (SDG) merupakan satu program yang dilancarkan di Universiti Utara Malaysia (UUM) bermula daripada pelajar kemasukan semester 2 sesi 2005/2006. Namun ia telah dirasmikan pada kemasukan pelajar semester 1 sesi 2006/2007 pada Julai 2006 di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM). Program ini memberi peluang kepada Universiti Utara Malaysia mengharumkan namanya didalam Malaysian Book Of Record kerana dapat mewujudkan kumpulan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) terbesar di Malaysia. Pada malam tersebut, setiap kumpulan dianggotai oleh 10 orang pelajar yang diketuai oleh seorang pensyarah.

Tujuan sebenar Self Development Group (SDG) diwujudkan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar untuk merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelajar dalam setiap kumpulan. Disamping itu, pelajar juga dapat berbincang masalah masing-masing terutama dalam bidang akademik dengan pensyarah tersebut.

Selain itu, Self Development Group juga bertujuan untuk melatih pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Di samping itu, pelajar juga dapat menunjukkan keyakinan diri mereka untuk tampil ke hadapan. Keadaan ini menghakis perasaan takut untuk membuat pembentangan di kuliah mahu pun diguna pakai sewaktu kerja. Ia juga dapat merapatkan silaturrahim antara pelajar-pelajar dalam kumpulan yang sama juga bersama pensyarah mereka.

Kesimpulannya, Self Development Group (SDG) merupakan salah satu alternatif yang telah diambil oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk memberi peluang kepada pelajar untuk merapatkan hubungan antara pensyarah dan pelajar dalam setiap kumpulan.


PERNYATAAN MASALAH

Tajuk penyelidikan yang menjadi pilihan kajian kumpulan kami adalah mengenai keberkesanan SDG di dalam mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan mahasiswa UUM. Kami memilih tajuk ini kerana, belum pernah lagi kajian seumpama ini dijalankan bagi menilai tahap keberkesanan SDG dikalangan mahasiswa UUM. Pelaksanaan SDG yang dimulakan pada sesi 2006/2007 sememangnya menimbulkan pelbagai rungutan dan masalah daripada pelbagai pihak terutamanya mahasiswa UUM itu sendiri dan juga sebilangan pensyarah. Hal ini kerana, para pelajar merasakan yang diri mereka ini terbeban dengan jadual waktu yang padat sepanjang minggu. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya program SDG ini, maka bebanan pelajar semakin bertambah kerana masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk berehat dan mengulangkaji pelajaran menjadi singkat. Secara tidak langsung, ianya akan mengganggu konsentrasi semasa sesi pembelajaran kerana rehat yang tidak mencukupi, waktu yang terluang banyak dihabiskan untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Selain itu sikap mahasiswa itu sendiri yang kurang meminati bahasa inggeris lebih-lebih lagi untuk bertutur dan berkomunikasi juga mempengaruhi keberkesanan SDG itu sendiri. Hal ini menyebabkan perjalanan SDG menjadi hambar dan membosankan pelajar. Modul yang digunakan sewaktu sesi SDG juga tidak menarik dan terdapat juga sebilangan pensyarah yang terlalu terikat dengan modul yang diberikan. Terdapat juga pensyarah yang memberikan tugasan yang perlu disiapkan untuk dibincangkan semasa SDG. Sesi SDG tidak dijalankan sepenuhnya didalam bahasa inggeris kerana terdapat juga pensyarah yang mengendalikan SDG dalam bahasa inggeris dan tidak terlalu terikat dengan modul. Seperti yang telah diketahui perjalanan SDG yang terlalu lama iaitu selama 6 hingga 8 semester telah banyak memberi tekanan kepada mahasiswa dari pelbagai aspek. Sebelum SDG dilaksanakan, hari khamis merupakan hari kuliah, tetapi selepas perlaksanaan SDG hari khamis telah diperuntukkan untuk SDG. Hal ini memberi kesan kepada golongan mahasiswa yang terlibat dengan SDG iaitu kepadatan waktu kuliah. Bagi mahasiswa yang tidak terlibat dengan SDG, mereka bertuah kerana waktu tersebut boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegiatan lain atau menyiapkan tugasan-tugasan yang lain. Sudah menjadi lumrah kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang dihujani dengan pelbagai tugasan, apa yang dapat dikaitkan disini adalah mahasiswa mengalami kesukaran untuk mengadakan perbincangan tugasan kerana kesulitan waktu. Secara kesimpulannya, perlaksanaan SDG dan bahasa inggeris secara bersama tidak dapat mencapai sasaran yang dijangkakan kerana wujud banyak masalah yang memerlukan kajian dan penyelesaian yang mendalam dan menyeluruh. Pelaksanaanya perlulah dinilai dari pelbagai aspek. Masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dan ini memerlukan perancangan yang rapi. Sesungguhnya niat murni pihak pengurusan UUM dalam memantapkan penguasaan bahasa inggeris dikalangan mahasiswa melalui perlaksanaan SDG amat dihargai mahasiswa cuma ia memerlukan sedikit pembaharuan.

OBJEKTIF UMUM

- Objektif umum adalah untuk menilai keberkesanan SDG dalam mempertingkatkan

penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa UUM.

OBJEKTIF KHUSUS

- Menentukan sama ada terdapat hubungan antara pelaksanaan SDG dengan tahap

penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa UUM.

- Menerangkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa berdasarkan

beberapa angkubah demografi ( jantina, umur, keputusan MUET, bangsa )

- Mengkaji tahap pencapaian akademik dalam subjek Bahasa Inggeris di kalangan

mahasiswa UUM.

- Mengkaji tentang penerimaan pelajar UUM terhadap pelaksanaan SDG

HIPOTESIS

- Pelaksanaan SDG mempunyai hubungan yang signifikan dengan tahap penguasaan

Bahasa Inggeris di kalangan mehasiswa UUM.

KEPENTINGAN KAJIAN

- Mengkaji sejauh mana pelaksanaan SDG dapat memberi kesan yang positif dalam

membantu meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa

UUM


ULASAN KARYA

Dalam jurnal yang bertajuk “Developing transferable personal skills: Part of the graduate toolkit”, ia telah dilakukan oleh beberapa orang pensyarah fakulti perniagaan dan pengurusan University of Ulster Jourdanton, Newtownabbey, Northern Ireland iaitu Kate Greenam, Paul Humphreys dan Heather McIlveen (1997). Kajian ini dilakukan di universiti tersebut dengan melibatkan semua siswa dan siswi. Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti kaedah pembelajaran yang diamalkan oleh mahasiswa dan mahasiswi University of Ulster Jourdanton, Newtownabbey, Northern Ireland dan keberkesanannya kepada prestasi akademik pelajar. Antara objektif kajian ini adalah untuk mengetahui kaedah pembelajaran yang diamalkan oleh mahasiswa dan mahasiswi, menyenaraikan cara pembelajaran yang berkesan, mengenalpasti konsep-konsep pembelajaran yang paling banyak diamalkan di universiti. Selain daripada itu, kajian ini telah mendedahkan sikap-sikap mahasiswa dan mahasiswi di dalam pembelajaran dan bidang bukan akademik. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah kajian soal selidik. Pengkaji telah menggunakan aras ordinal sebagai asas pengukuran dalam kajian mereka. Kaedah ini digunakan untuk mengukur tahap kesungguhan siswa dan siswi belajar di dalam sesuatu kaedah itu dan keberkesanannya. Kajian ini mempunyai kaitan dengan tajuk kajian kami dimana berkaitan dengan penggunaan kaedah pembelajaran yang berkesan, terutama dalam bahasa inggeris. Jurnal ini juga dapat kami gunakan sebagai salah satu sumber rujukan kami untuk menjalankan kajian yang berkait antara satu sama lain.

Seterusnya, menurut Sakthi Mahenthiran dan Pamela J. Rouse (2000), terdapat kesan pemilihan kumpulan ke atas prestasi dan kemampuan pelajar. Kajian ini dijalankan di Universiti Butler, Indianapolis, Indiana, Amerika Syarikat. Objektif kajian adalah untuk mengkaji sama ada prestasi dan tingkahlaku pelajar boleh ditingkatkan dengan memberi mereka peluang dalam memilih ahli kumpulan. Kumpulan akan dibentuk sama ada secara rawak antara pelajar dan rakan sebaya mereka atau dengan pemilihan secara rawak tetapi daripada keseluruhan pelajar. Pelajar-pelajar ini diberi tugas untuk menyiapkan tugasan dan latihan secara berkumpulan. Pembolehubah bersandar adalah gred projek atau kepuasan pelajar. Soal selidik digunakan untuk mengukur kepuasan pelajar. Keputusan akhir akan menunjukan sama ada tingkahlaku pelajar itu adalah positif bila mereka diberi pilihan untuk memilih ahli kumpulan. Gred sesuatu projek adalah lebih baik apabila pelajar dibentuk dalam satu kumpulan yang sama, maka keputusannya dapat dibuktikan benar secara purata. Hubungan antara pemilihan kumpulan dengan gred purata keseluruhan dapat dibuktikan dan kajian merumuskan bahawa kumpulan yang terbaik adalah dengan memilih ahli kumpulan yang terdiri dari rakan sebaya dan kemudiannya bersatu bersama untuk membentuk kumpulan yang lebih berkemampuan dan bersatu hati daripada pemilihan secara rawak untuk membentuk satu kumpulan. Self Development Group (SDG) ini yang dijalankan secara berkumpulan sebenarnya memerlukan keserasian antara setiap ahli di dalam kumpulan tersebut. Oleh sebab yang demikian proses untuk mendapatkan ilmu ini misalnya perbincangan dapat menyumbang kepada idea-idea yang bernas dan bercambah disebabkan wujudya keserasian antara ahli-ahli kumpulan tersebut. Keserasian juga memudahkan interaksi sesama ahli-ahli kumpulan yang seterusnya dapat meningkatkan proses komunikasi sesama ahli-ahli kumpulan.

Sementara itu, Ervina Alfan & Md Nor Othman (2005) telah menjalankan satu kajian tentang pencapaian pelajar siswazah di mana kajian ini telah dilakukan kepada pelajar siswazah daripada fakulti perniagaan dan perakaunan Universiti Malaya Kuala Lumpur, Malaysia. Objektif kajian adalah untuk menentukan pencapaian pelajar di fakulti perniagaan dan perakaunan Universiti Malaya di samping mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pencapaian pelajar-pelajar siswazah bagi kedua-dua program iaitu program ijazah perniagaan dan perakaunan. Pencapaian bagi para pelajar siswazah dalam kajian ini telah diukur berdasarkan Cumulative Grade Point Average (CGPA) pada semester akhir. Dalam kajian ini latar belakang demografi, kelayakan kemasukan dan mata pelajaran yang diambil oleh pelajar semasa pra Universiti digunakan sebagai pembolehubah yang diramal untuk pencapaian pelajar dalam program ijazah. Data telah dikumpulkan dari tahun 1998 sehingga 2000. Dalam kaedah kajian ini, pelajar telah dibahagikan kepada tiga bahagian di mana bahagian A ialah berkaitan demografi seperti jantina, etnik, tempat tinggal dan kelayakan kemasukan. Manakala bahagian B ialah kelayakan kemasukan pelajar dan bahagian C pula merujuk kepada tempoh pengajian yang diambil oleh pelajar. Kaedah yang digunakan dalam analisis ialah pekali korelasi, pengganda regresi, ujian t, ANOVA dan faktor analisis. Daripada analisis tersebut dapat dikaji sama ada wujud hubungan antara pembolehubah bebas dan bersandar. Hasil daripada kajian yang dilakukan mendapati bahawa pembolehubah bebas dapat menerangkan perubahan dalam CGPA pelajar pada semester akhir. Didapati pelajar yang mempunyai asas pengetahuan dalam ekonomi, matematik dan perakaunan dapat membantu mereka untuk mengikuti kursus-kursus dalam program perniagaan dan perakaunan. Kajian ini juga mendapati bahawa pencapaian pelajar perempuan lebih baik daripada pelajar lelaki dan didapati pencapaian pelajar berbangsa cina adalah lebih baik daripada pelajar melayu, india dan lain-lain. Berdasarkan kajian lepas yang dilakukan oleh Ervina Alfan & Md Nor Othman (2005), pencapaian pelajar adalah ditentukan oleh faktor demografi seperti jantina dan bangsa. Manakala, dalam kajian ini ia dilakukan bertujuan untuk menentukan sama ada dengan adanya pelaksanaan Self Development Group (SDG) di Universiti Utara Malaysia adakah faktor demografi seperti jantina, bangsa, keputusan peperiksaan MUET dapat mempengaruhi tahap penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar.

Manakala dalam jurnal yang bertajuk ‘kecemerlangan akademik pelajar dan kaitannya dengan penglibatan pelajar dalam pembelajaran dan hubungannya dengan fakulti dan rakan sebaya’, Ullah, Hafeez, Wilson dan Mardell A. ( Disember, 2007) telah mengkaji pencapaian siswazah dan penglibatan pelajar dengan pembelajaran dan hubungan antara pelajar dengan fakulti serta rakan sebaya di Universiti awam Midwestern. Objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti sama ada pengaruh rakan sebaya dan cara pembelajaran mempengaruhi pencapaian akademik ataupun tidak. Untuk mengkaji pencapaiain akademik pelajar, kajian ini menggunakan data 3 tahun dari tahun 2003 hingga 2005. Mereka mengumpul dan mengambil data ini melalui jabatan pentadbiran ‘National Survey of Student Engagement’ (NSSE). Kajian ini telah menggunakan beberapa kaedah iaitu pemerhatian, kajian soal selidik dan juga penganalisaan. Berdasarkan kajian ini, dapat disimpulkan bahawa pelajar yang aktif dalam pembelajaran seperti menanyakan soalan dan penglibatan mereka belajar secara berkumpulan mempunyai pengaruh yang positif tehadap pencapaian akademik pelajar. Tambahan lagi, hubungan antara pelajar dengan fakulti dan rakan sebaya mempunyai pengaruh yang nyata sekali. Tujuan kajian ini berkaitan dengan kajian kami mengenai kesan Self Development Group (SDG) kepada prestasi pelajar sama ada dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka ataupun tidak sama ada dari segi penguasaan Bahasa Inggeris ataupun mata pelajaran yang lain.

Kajian yang seterusnya adalah mengenai peranan kumpulan pembangunan kendiri (PD groups) di bawah bimbingan kaunselor. Kajian ini telah dijalankan oleh Lennie,Clare. Objektif utama kajian ini adalah untuk memahami faktor yang menyumbang kepada kesedaran diri di dalam kumpulan pembangunan kendiri. Metodologi yang digunakan adalah kajian soal selidik, analisis statistik dan terapi. Daripada kajian ini beliau memperolehi bahawa kumpulan pembangunan kendiri memperluaskan pengambilan dalam bimbingan kaunseling. Dengan tujuan untuk membangunkan kesedaran diri dan cadangan kajian ini adalah untuk membuat forum perbincangan dan memahami kumpulan ini dengan sepenuhnya. Pendekatan kualitatif dan kuantitatif telah digunapakai dalam pendekatan ini dan fokus utama kumpulan ini adalah terhadap 88 pelajar yang menjalani latihan kaunseling tetapi berbeza dari segi latihan. Selain itu, untuk mengukuhkan lagi faktor yang menyumbang kepada pembangunan kesedaran kendiri di dalam kumpulan tersebut, kajian soal selidik telah di gunapakai untuk mengukur sejauh mana penerimaan pelatih terhadap kesedaran diri. Melalui kaedah statistik daripada kohort , 88 pelatih menunjukan bahawa mereka berpuas hati mengenai kumpulan kendiri. Walaupun terdapat antara mereka tidak mempunyai sebarang hubungan tetapi mereka menjadi semakin akrab dan dapat meningkatkan kesedaran diri. Dapatan ini membincangkan perhubungan kaedah alternatif terhadap pelatih dari segi kesedaran diri.

No comments:

Post a Comment