Wednesday, April 21, 2010

TEORI PERMINTAAN WANG KEYNES

Mengikut teori Keynes, Permintaan wang bermaksud masyarakat memegang wang tunai. Masyarakat meminta wang untuk 3 tujuan:

a. Untuk Urusniaga

Setiap orang memerlukan wang bagi manjalankan urusniaga setiap hari. Jumlah wang yang dipegang untuk motif ini bergantung kepada saiz pendapatan individu, masa di antara penerimaan pendapatan dengan perbelanjaannya, kekerapan penerimaan pendapatan dan isipadu urusniaga yang dilakukan.

Secara keseluruhannya jumlah wang yang akan diminta oleh sesuatu ekonomi untuk tujuan urusniaga bergantung kepada saiz Pendapatan Negara ekonom sesebuah negara. Lebih tinggi pendapatan sesebuah negara itu, lebih tinggi permintaan wang bagi tujuan urusniaga negara tersebut. Hubungan antara permintaan untuk wang bagi tujuan urusniaga dengan pendapatan negara ditunjukkan seperti persamaan di bawah:

Mdu = f(Y)

Di mana:

Md = permintaan wang untuk tujuan urusniaga

Y = pendapatan

b. Untuk awasan

Permintaan wang untuk tujuan awasan wujud daripada ketidakpastian tentang masa penerimaan pendapatan dan perbelanjaan pada masa hadapan. Ianya boleh digunakan untuk membiayai kenaikan dalam perbelanjaan yang tidak dijangkakan atau membiayai perbelanjaan pada masa terdapatnya kelambatan dalam penerimaan wang. Permintaan bagi tujuan awasan ini biasanya berubah berdasarkan pendapatan seseorang. Lebih tinggi pendapatan, lebih banyak wang yang diminta untuk tujuan awasan. Hubungan antara permintaan untuk wang bagi tujuan awasan dengan pendapatan negara ditunjukkan seperti persamaan di bawah:

Mda = f(Y)

Di mana:

Mda = permintaan wang untuk tujuan awasan

Y = pendapatan

Walaupun permintaan wang untuk tujaun awasan berbeza dengan ermintaan wang untuk tujaun urusniaga, tetapi kedua-duanya berfungsi kepada pendapatan negara. Jadi ianya boleh diringkaskan seperti berikut:

Mdt = Mdu + Mda

Di mana:

Mdt = permintaan wang untuk tujuan urusniaga dan awasan

Mdu = permintaan wang untuk tujuan urusniaga

Mda = permintaan wang untuk tujuan awasan

c. Untuk spekulasi

Pemegangan wang bagi tujuan spekulasi merujuk kepada keinginan memegang wang dalam bentuk baki tunai yang terbiar untuk memperolehi keuntungan melalui perubahan kadar bunga.

Menurut Keynes, seseorang yang membeli bon sedang membuat spekulasi bahawa kadar bunga tidak akan naik terlalu tinggi pada tempoh masa dia sedang memegang bon itu. Sekiranya dia percaya bahawa kadar bunga akan naik, adalah lebih berfaedah untuk memegang baki tunai yang tidak member sebarang kadar bunga.

Ketidakpastian tentang kadar bunga masa depanlah yang menyebabkan seseorang memegang wang untuk tujuan spekulasi. Sekiranya kadar bunga jatuh, harga bon mahal dan spekulator akan menjual sebahagian besar bon untuk mendapatkan keuntungan. Jadi pegangan wang dalam bentuk tunai untuk tujuan spekulasi bertambah/banyak. Sebaliknya apabila kadar bunga tinggi, harga bon murah jadi speculator akan membeli bon menyebabkan pegangan wang untuk tujuan spekulasi akan jatuh/berkurangan. Hubungan antara permintaan wang untuk tujuan spekulasi dengan kadar bunga dapat ditunjukkan oleh persamaan di bawah:

Mdsp = f( r )

Di mana:

Mdsp = permintaan wang untuk tujuan spekulasi

r = Kadar bunga

Keluk permintaan wang untuk tujuan spekulasi dikenali sebagai keluk keutamaan kecairan iaitu pilihan untuk memegang wang bagi tujuan spekulasi.

Apabila kadar bunga turun, pegangan wang untuk tujuan spekulasi semakin banyak. Ini kerana apaila kedar bunga jatuh harga bon meningkat jadi speculator akan menjual bon bagi memperolehi keuntungan menyebabkan pegangan wang untuk tujuan spekulasi bertambah.

Menurut Keynes, jumlah permintaan wang dalam ekonomi ialah dengan mencampurkan permintaan wang untuk tujuan urusniaga, awasan dan spekulasi iaitu:

Md = Mdt + Mdsp

Di mana:

Md = permintaan wang

Mdt = permintaan wang untuk tujuan urusniaga dan awasan

Mdsp = permintaan wang untuk tujuan spekulasi

Bahagian menegak keluk permintaan menunjukkan permintaan wang untuk tujuan urusniaga dan awasan. Bila kadar bunga =R1, jumlah permintaan wang dalam pasaran ialah M1. Jika kadar bunga turun ke R2, jumlah permintaanwang (untuk spekulasi) meningkat ke R2. Pada tingkat kadar bunga R2, keluk permintaan wang menjadi anjal sempurna. Pada peringkat ini kadar bunga dikatakan telah masuk dalam perangkap kecairan (liquidity trap). Ini bermakna orang ramai akan memegang semua wang tunai dan tabungan=0 kerana kadar bunga terlalu rendah untuk masyarakat menabung.

2 comments:

  1. boleh x trg kan spekulasi secara menyeluruh?

    ReplyDelete
  2. boleh tak tunjuk contoh pengiraan untuk hitung wang untuk spekulasi berdasarkan kadar bunga

    ReplyDelete