Tuesday, February 9, 2010

RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN (RMK-8)

1.0 PENGENALAN

Dasar dan strategi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) berteraskan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang memberi penekanan kepada pembangunan berkualiti ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Pada awal RMK-8, ekonomi dunia mengalami pertumbuhan lembap berikutan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kejatuhan permintaan keluaran elektronik dunia serta ditambah dengan serangan 11 September 2001. Prestasi ekonomi keseluruhan terus lembap sehingga separuh kedua 2003 disebabkan pencerobohan ke atas Iraq dan merebaknya Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) di rantau ini. Bagaimanapun, selepas peristiwa-peristiwa itu, pertumbuhan ekonomi dunia tetap teguh walaupun harga minyak mentah meningkat sejak separuh kedua 2004. Ekonomi Malaysia terus mengekalkan pertumbuhan dalam tempoh RMK-8 berikutan pengukuhan asas ekonomi makro dan peningkatan daya tahan hasil pengalaman menghadapi krisis kewangan Asia.

Kejayaan yang dicapai meliputi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga sebenar sebanyak 4.5 peratus, melebihi sasaran Kajian Separuh Penggal RMK-8. Peningkatan Keluaran Negara Kasar (KNK) perkapita pada harga semasa sebanyak 5.7 peratus setahun kepada RM17,687 pada tahun 2005. Pertumbuhan secara meluas dengan hampir semua sektor menyamai atau mengatasi sasaran Kajian Separuh Penggal RMK-8. Pertumbuhan eksport kukuh menghasilkan pertambahan lebihan dagangan sebanyak 61.4 peratus dan meningkat lebihan imbangan pembayaran dan rizab antarabangsa sebanyak dua kali. Inflasi rendah pada kadar purata 1.8 peratus setahun dalam tempoh RMK-8. Kadar pengangguran rendah iaitu 3.5 peratus pada akhir tahun 2005. Peningkatan kepada aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor utama. Penambahbaikan persekitaran perniagaan termasuk peningkatan penawaran pekerja mahir, keupayaan infrastruktur fizikal lebih tinggi dan insentif pelaburan lebih baik.

Pertumbuhan ekonomi yang stabil membolehkan pencapaian beberapa matlamat sosioekonomi antaranya kadar kemiskinan berkurangan dari 8.5 peratus pada tahun 1999 kepada 5.7 pada 2004. Kadar kemiskinan tegar berkurangan dari 1.9 peratus kepada 1.2 peratus. Pendapatan isi rumah purata meningkat kepada 5.6 peratus setahun melebihi pertumbuhan KDNK pada harga sebenar. Semua Matlamat Pembangunan Milenium dicapai lebih awal dari tahun 2015 yang disasarkan kecuali dalam pengurangan HIV/AIDS. Kemajuan ketara dalam penyediaan kemudahan perumahan, perkhidmatan, kesihatan dan kemudahan asas. Sungguhpun beberapa matlamat sosioekonomi dicapai, jurang pendapatan antara luar bandar dengan bandar semakin merengang.

1.1 PENYATAAN MASALAH

Sebagaimana Rancangan-rancangan Malaysia yang sebelum-sebelum ini, Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) juga tidak lari daripada berdepan dengan masalah dan wujudnya ketidakcapaian untuk mengapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan di dalam perancangan yang digubal tersebut. Misalnya, sebanyak 2,326 projek terbengkalai dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) akan disambung pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).Masalah ini harus dipandang serius oleh kerajaan dan semua pihak yang terbabit kerana hal ini merencatkan pembangunan negara seterusnya akan memberi impak yang kurang baik kepada pelabur-pelabur asing yang bakal melabur di negara ini.Rakyat pula akan menerima kesan negatif akibat daripada pembangunan yang tidak dilaksanakan ini.

Masalah di kalangan belia-belia di negara ini juga perlu diambil penting kerana mereka-mereka ini merupakan aset-aset penting negara di masa hadapan.Dalam tempoh kajian semula Rancangan Malaysia Ke-8, jumlah golongan belia telah meningkat pada kadar 2.3 peratus setahun, daripada 4.4 juta pada tahun 2000 kepada 4.7 juta pada 2003.Namun, persoalan pembangunan belia masih di takuk lama dan masih perlukan pembaharuan dan jalan penyelesaian dalam memastikan golongan belia masa kini dapat menjadi pemimpin kepada generasi yang akan datang. Oleh itu, langkah-langkah yang bijak dan berkesan harus di ambil bagi memastikan pembangunan bagi golongan-golongan belia ini terbela dan aset-aset negara ini haruslah diberi bimbingan, dorongan serta strategi pembangunan harus digiatkan ke atas golongan belia yang merupakan nadi penting bagi negara ini pada masa hadapan nanti.

1.2 OBJEKTIF KAJIAN

RMK-8 adalah suatu perancangan pembangunan negara yang komprehensif, bersepadu dan berimbang, serta praktikal dan boleh diusahakan.Oleh itu, kajian mengenai RMK-8 ini adalah berkisar mengenai pencapaian dan sejauh mana berjayanya Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) ini.Oleh sebab yang demikian, objektif kajian kami adalah untuk mengukur RMK-8 ini tercapai matlamatnya dan masalah-masalah yang dihadapi sebelum, semasa dan selepas RMK-8 ini berlangsung.Seterusnya daripada kajian tersebut kami berupaya untuk mencari punca dan sebab mengapa RMK-8 ini tidak mencapai matlamatnya.Kemudiannya, kajian terhadap cara mengatasi, analisis selepas RMK-8 dan bagaimana penyelesaian bagi menyelesaikan masalah-masalah yang menyebabkan matlamat RMK-8 tidak tercapai akan diulas dan dianalisa.Di sini, kami mengkaji adakah RMK-8 mencapai misi dan visinya dan langkah-langkah yang diambil dalam dalam menyelesaikan matlamat yang masih belum tercapai dan punca mengapa matlamat ini tidak dicapai dan mengapa sentiasa bertangguh-tangguh.

Objektif sebenar di dalam laporan kami ini secara khususnya adalah mengenai penyelesaian masalah bagi projek terbengkalai dan juga kurangnya program-program bagi golongan belia masa kini.Oleh itu, semua pihak harus bertanggungjawab dan memainkan peranan tanpa hanya melihat kepada usaha dan pelaksanaan dari pihak kerajaan atau pun dari kementerian itu sendiri sahaja.Hal ini kerana, bantuan-bantuan dari pihak luar misalnya dari pihak swasta amat ditagih bagi meringankan beban kerajaan.

Bagi masalah projek terbengkalai, pihak kementerian haruslah melantik kontraktor-kontraktor yang bertauliah dan berwibawa agar projek yang dipertanggungjawabkan akan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.Kemudian, bagi kontraktor-kontraktor yang tidak melaksanakan amanah yang dipertanggunjawabkan hukuman atau tindakan undang-undang harus dikenakan bagi menyedarkan para kontraktor ini.Seterusnya, bagi masalah kurangnya program bagi golongan belia, pihak kementerian seharusnya mencipta dan mempelbagaikan lagi program-program bagi golongan belia ini sejajar dengan kepentingan goongan belia ini pada masa hadapan kelak.Selain itu, tugas membangunkan golongan belia ini tidak hanya harus dipikul oleh kerajaan semata-mata tetapi pihak swasta yang lain juga harus membantu dan berkerjasama dengan pihak kerajaan di dalam membangunkan golongan belia ini.

2.0 MASALAH DALAM RANCANGAN MALAYSIA KELAPAN

2.1 PROJEK TERBENGKALAI

Sebanyak 2,326 projek terbengkalai dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) akan disambung pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Kegagalan dalam menyiapkan projek-projek itu dalam tempoh RMK-8 disebabkan pelbagai masalah termasuk kontraktor yang dilantik `lari' (Mohamed Nazri, 2006). Masalah-masalah lain yang turut menyumbang kepada kegagalan projek untuk disiapkan ialah berkaitan pengambilan tanah dari kerajaan negeri atau orang persendirian yang biasanya memakan masa yang lama, kelewatan kerja pihak tertentu dan sebagainya. Dalam RMK-8, sejumlah RM169.144 bilion atau 99.2 peratus telah dilaksanakan daripada siling peruntukan yang berjumlah RM170 bilion dan sebanyak 77,427 sub projek atau 81.7 peratus daripada 94,838 sub projek telah disiapkan. Daripada RM170 bilion peruntukan di bawah RMK-8, sebanyak 94 peratus perbelanjaan telah digunakan oleh kementerian dan agensi kerajaan, namun hanya 84 peratus projek berjaya disiapkan (Mohamed Nazri, 2006). Bermakna 16 peratus projek gagal disiapkan dalam RMK-8. Di antara keseluruhan projek yang terbengkalai, terdapat sebanyak 80 projek kerajaan yang bernilai RM8 bilion dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang terbengkalai (S. Samy Vellu, 2005). Semua projek tersebut hanya siap antara 50 sehingga 60 peratus. Antara projek yang terbengkalai adalah projek perumahan, pendidikan dan kesihatan yang mungkin mengambil masa untuk disiapkan dalam tempoh terdekat ini.

2.2 PEMBANGUNAN BELIA

Dalam tempoh kajian semula Rancangan Malaysia Ke-8, jumlah belia telah meningkat pada kadar 2.3% setahun, daripada 4.4 juta pada tahun 2000 kepada 4.7 juta pada 2003. Daripada jumlah belia pada tahun 2003, peratusan belia yang bekerja adalah 52.1%, manakala bakinya terdiri daripada mereka yang baru menamatkan pengajian di institusi pendidikan dan latihan, pemohon kerja serta pelajar di peringkat pendidikan menengah dan tertiari. RMK-8 merupakan kali kedua belia diberikan bab yang khusus dalam buku rancangan lima tahun kerajaan. Kali pertama ialah dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK-7). Sebelum itu, belia dimasukkan di bawah bab mengenai pembangunan dan perkhidmatan sosial. Hakikatnya Malaysia telah mempunyai Dasar Belia Negara sejak 1985, tetapi bab khusus mengenai belia hanya muncul pada tahun 1996, iaitu tahun permulaan RMK-7.

Persoalan pembangunan belia tidak hanya terhad dalam sesebuah kementerian atau organisasi sahaja. Sebaliknya, ia adalah juga agenda semua kementerian dan organisasi ataupun agenda bersama. Penekanan RMK-8 untuk meningkatkan kapasiti pendidikan dan latihan untuk melahirkan sumber manusia yang memiliki kemahiran dan kepakaran tinggi, termasuk kemahiran berfikir, adalah bertepatan dengan keperluan K-ekonomi negara. Dalam melaksanakan pelbagai agenda, ianya akan melibatkan perbelanjaan yang amat besar. Kerajaan tidak akan mampu melaksanakannya secara bersendirian. Ia memerlukan peranan swasta yang lebih besar. Tetapi, pihak swasta lazimnya perlu diberikan insentif yang sewajarnya.

3.0 ANALISIS KAJIAN

3.1 ANALISIS PROJEK TERBENGKALAI

Bukan semua projek dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dapat disiapkan dalam tempoh berkenaan sebaliknya ada yang perlu disambung dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Ada antara projek tersebut mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan sedangkan ada yang dimulakan pertengahan RMK-8 (Nor Mohamed Yakcop, 2006), menyebabkan projek itu perlu disambung dalam rancangan Malaysia seterusnya. Ketidakcekapan peruntukan adalah antara punca utama mengapa banyak projek dalam RMK-8 tidak dapat disiapkan. Dalam konteks peruntukan yang diminta oleh jabatan-jabatan kerajaan pula, masih berlaku lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan oleh beberapa kementerian setiap tahun. Terdapat kementerian yang meminta peruntukan untuk melaksanakan sesuatu projek, namun ada antaranya gagal membelanjakan wang yang diluluskan dalam tempoh ditetapkan (Abdullah Ahmad Badawi, 2008).

Selain itu, masalah kenaikan harga bahan binaan beberapa kali ganda juga menyumbang kepada berlakunya masalah ini sehingga menjejaskan kewangan kontraktor yang terbabit (S. Samy Vellu, 2005). Kementerian Kerja Raya sedang berusaha untuk menyelamatkan projek itu agar ia tidak melarat dengan menyenaraikan kontraktor yang mengalami masalah, khususnya dari segi kewangan bagi memastikan projek kerajaan itu dapat disiapkan. Kementerian Kerja Raya telah meminta bank supaya menangguhkan pembayaran dan telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk memberi bayaran pendahuluan kepada kontraktor yang terbabit untuk meneruskan projek. Langkah tersebut diambil bagi mengelakkan kontraktor terbabit terus dilanda masalah selain memastikan projek kerajaan itu dapat disiapkan. Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak melantik kontraktor baru jika mendapati kontraktor terbabit benar-benar menghadapi masalah dan tidak dapat menyiapkan projek. Pihak JKR juga membayar wang pendahuluan 15 peratus nilai projek kepada kontraktor selepas memastikan mereka telah memulakan projek terbabit (S. Samy Vellu, 2005). Ini membolehkan kontraktor yang dilantik memulakan projek tetapi kementerian mendapati amalan itu sering disalah-gunakan oleh kontraktor.


3.2 ANALISIS PEMBANGUNAN BELIA

Penekanan RMK-8 untuk meningkatkan kapasiti pendidikan dan latihan untuk melahirkan sumber manusia yang memiliki kemahiran dan kepakaran tinggi, termasuk kemahiran berfikir, adalah bertepatan dengan keperluan K-ekonomi negara. RMK-8 juga menitikberatkan peningkatan latihan kemahiran, termasuk di peringkat paling tinggi. Antaranya, institusi latihan awam dijangka mengeluarkan 42,057 orang pekerja mahir pada akhir tempoh RMK-8. Ini adalah peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan 25,761 orang pekerja mahir yang dilahirkan pada akhir tempoh RMK-7. Manakala sejumlah 15 institut latihan kemahiran, termasuk dua institut latihan kemahiran peringkat tinggi, di bawah Kementerian Sumber Manusia dijangka beroperasi dengan seramai 12,400 orang pelatih.

Di samping perancangan sistem pendidikan dan latihan, satu perkembangan baru yang meyakinkan aspek latihan kemahiran ialah dari segi penyaluran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Kini, pinjaman tabung ini diperluaskan untuk pelajar di institusi latihan kemahiran. Dengan adanya peruntukan pinjaman sebegini,para belia dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Seterusnya dalam tempoh RMK-8, dua perkara diharap akan terlaksana.Pertama, Rakan Muda dapat dilancarkan semula dengan beberapa pendekatan,aktiviti dan juga imej baru. Pembinaan 19 buah Pusat Rakan Muda telah diluluskan dalam RMK-7. Keduanya,peruntukan kepada persatuan-persatuan belia dapat ditingkatkan, selaras dengan konsep hak upaya belia (youth empowerment) dan pengiktirafan terhadap peranan belia sebagai rakan pembangunan.

Sehubungan itu, diharapkan seruan RMK-8 agar pihak swasta terus memainkan peranan dalam bidang pendidikan dan latihan akan diterima baik. Ini amat penting kerana skema latihan vokasional negara masih terlalu berorientasi institusi, iaitu pelajar menggunakan kebanyakan masanya di institusi latihan.Ini perlu diubah kepada skema yang lebih berorientasi industri, iaitu pelajar menggunakan masa yang seimbang di institusi latihan dan di industri. Skema baru ini lebih berasaskan konsep perantisan, iaitu seperti yang diamalkan di Jepun dan Jerman. Kerajaan tidak akan mampu melaksanakannya secara bersendirian. Ia memerlukan sokongan dan peranan swasta yang lebih besar.

Tempoh RMK-7 telah menyaksikan berbagai infrastruktur dan persekitaran disediakan untuk keperluan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Semua pelaburan ini telah menjana negara untuk memasuki era teknologi maklumat dengan lebih pantas. Menurut Laporan RMK-8 pula, Agenda Teknologi Maklumat Negara atau NITA yang digubal pada tahun 1996 telah menyediakan kerangka pembangunan negara yang lebih terancang untuk menjadi sebuah masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan menjelang tahun 2020. Ini menunjukkan tahap komitmen negara untuk serius bersama-sama bersaing dengan dunia luar dalam hal teknologi maklumat dan komunikasi. Demikian jugalah dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang menjadi salah satu aplikasi wawasan negara untuk memastikan Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Untuk memantapkan lagi prasarana teknologi maklumat di Malaysia bagi melahirkan belia yang dapat menguasai teknologi, negara turut menggubal beberapa akta yang bertujuan untuk menggalakkan peraturan yang lebih liberal, memperkemas prosedur dan kategori perlesenan serta mewujudkan pasaran yang lebih terbuka. RMK-8 menetapkan untuk membuat usaha yang lebih bersepadu dengan menggunakan ICT demi mendorong pembangunan. Oleh itu, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan sumber manusia dan rangkaian infrastruktur supaya masyarakat Malaysia memperolehi manfaat yang maksimum daripada kepesatan pembangunan teknologi.

Bagi melengkapkan belia dengan sikap positif, ilmu pengetahuan dan kemahiran, penekanan yang lebih telah diberikan bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam pelbagai program pembangunan belia. Program pembangunan belia disasarkan ke arah mewujudkan belia yang bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik serta berupaya menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran bangsa, agama dan negara.Antara strategi-strategi yang digariskan untuk mencapai matlamat tersebut ialah :

1. Pembangunan Ilmu.

2. Pembentukan Sikap.

3. Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan.

4. Pemupukan Gaya Hidup Sihat.

5. Pembinaan Interaksi Sosial.

6. Perkongsian Dalam Pembangunan.

7. Jaringan Hubungan Antarabangsa.

Salah satu program yang dilaksanakan ialah dengan mewujudkan Rakan Muda. Ia menumpukan usaha dan memberi keutamaan ke arah membangunkan potensi generasi muda sebagai aset yang tidak ternilai harganya. Matlamat utama penubuhan Rakan Muda ialah mencerna potensi tertinggi golongan belia supaya dapat menyumbang dengan produktif kepada negara. Program ini dari semasa ke semasa memerlukan pendekatan-pendekatan baru bagi membolehkan ia diminati dan menepati matlamat penubuhannya. Walaupun program ini telah mencapai banyak kejayaan sepanjang tempoh penubuhannya, masih ada ruang untuk meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan program ini khususnya dari segi pendekatan yang lebih menarik bagi memenuhi keperluan dan citarasa anak-anak muda. Antara faedah yang boleh didapati daripada menyertai program Rakan Muda termasuklah :

1. menyediakan peluang-peluang baru untuk menyahut cabaran.

2. membentuk matlamat diri sendiri d mencapainya.

3. belajar mengenali diri melalui penemuan sendiri, kualiti peribadi dan kesungguhan.

4. mampu merancang dan mengatur aktiviti mengikut kemampuan sendiri.

5. meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan berpandangan positif.

6. belajar bergaul dan berinteraksi dalm masyarakat.

7. menjadi lebih peka kepad keadaan sekeliling dan persekitaran.

8. membina kebolehan untuk mengatasi segala cabaran yang dihadapi dalam kehidupan.

Inisiatif lain yang dilaksanakan oleh kerajaan ialah mewartakan Hari Belia. Hari Belia yang disambut pada 15 Mei setiap tahun dinegara kita adalah sebagai satu medan untuk setiap warga muda bermuhasabah dan memikirkan matlamat dan hala tuju yang ingin dicapai oleh mereka. Sememangnya warga muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan dating. Seorang penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah : “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”. Dalam usaha kita mencari acuan sendiri untuk membina dan membangun generasi muda hari ini, ia menuntut perhatian semua pihak. Sesungguhnya, peranan dan tanggung jawab belia pada hari ini adalah signifikan untuk menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama adalah cukup besar sekali. Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara. PLKN yang diwujudkan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara bermula 2003 bertujuan melahirkan remaja yang lasak, tidak pasif dalam pergaulan, hidup kendiri dan merentasi batas antara kaum. Program yang diperuntukkan belanja RM500 juta itu bukanlah kerahan tenaga untuk mempertahankan negara.Konsep PLKN juga bertujuan membentuk peribadi remaja untuk menjadi warga yang waras dalam hubungan sesama manusia dan patriotik kepada negara. Modul pengajaran di kem-kem latihan juga menjurus kepada matlamat ini.Pelaksanaan program ini memang menuntut ketegasan. Maknanya mereka yang sengaja ingkar wajar dihukum. Tetapi tahap hukuman perlu ada peringkat-peringkatnya selain yakin bahawa remaja berkenaan faham dengan apa yang dilakukan. Maka setiap hukuman kepada remaja yang sengaja tidak hadir ke program ini perlu menjurus kepada membentuk peribadi dan membimbing. Hasil kajian dan laporan positif terhadap PLKN telah menunjukkan bahawa objektif program ini telah tercapai. Ini termasuklah untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional,membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat sukarelawan dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri. Begitu juga dengan semangat sukarelawan demi agama, bangsa dan negara, perpaduan kaum dan integrasi nasional. Juga diharapkan program ini akan dapat membina kekuatan serta karakter yang unggul bagi menangani cabaran dan ancaman yang mendatang.

4.0 KESIMPULAN

Kesimpulan kepada pencapaian Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) ini adalah masih terlalu banyak kelemahan yang harus diatasi dan diperbaiki secara keseluruhannya di dalam RMK-8 ini kerana hanya sejumlah bilangan kecil misi dan visi RMK-8 dicapai.Oleh itu, langkah penambahbaikan harus diambil segera bagi memastikan di Rancangan Malaysia yang seterusnya tidak akan berlaku lagi kejadian sebegini kerana ia amat merugikan terutamanya kepada negara dan amnya kepada rakyat.Penetapan dasar, stategi dan matlamat yang lebih kukuh dan efisyen harus dilaksanakan demi memastikan sesuatu dasar itu lebih berkesan dan berjaya.Selain itu, pelaksanaan sesuatu dasar itu juga haruslah memberi kepentingan dan keuntungan kepada semua pihak.Pelaksanaan Rancangan Malaysia ini sebenarnya tidak harus dimainkan oleh kerajaan semata-mata malah semua pihak termasuk pihak swasta harus menyumbang dalam membantu kerajaan merealisasikan dasar kerajaan ini.

BIBLIOGRAFI

Malaysia (2001), Rancangan Malaysia Kelapan 2001 – 2005, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Malaysia (2003), Kajian Separuh Penggal RMK8, Percetakan Nasional Berhad, Kuala Lumpur.

Malaysia (2001), Rancangan Malaysia Kesembilan 2006 – 2010, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Utusan Malaysia (2006, April 4). 2,326 projek RMK-8 terbengkalai disambung dalam RMK-9. Utusan Malaysia. Dicapai pada Mac 5, 2008, dari http://www.utusan.com.my

Utusan Malaysia (2006, Februari 10). Projek RMK-8 tidak siap disambung dalam RMK-9. Utusan Malaysia. Dicapai pada Mac 5, 2008, dari http://www.utusan.com.my

Utusan Malaysia (2006, Jun 24). 80 projek kerajaan RM8b dalam RMK-8 terbengkalai. Utusan Malaysia. Dicapai pada Mac 5, 2008, dari http://www.utusan.com.my

1 comment:

  1. terima kasih di atas maklumat ini dan amat berguna kpd saya. :)

    ReplyDelete